Thursday, August 08, 2019

Trafik di Pulau Pinang

Pagi ini saya sekali lagi tersangkut di dalam trafik ketat di persimpangan jambatan Pulau Pinang. Menurut aplikasi "Waze" ada berlaku kemalangan selepas tol. Trafiknya sesak tapi kereta masih bergerak perlahan ke hadapan. Sayup ku lihat bumbung tol ditenggelami tinggi lori-lori gedang.

Sambil itu saya bernyanyi-nyanyi mengikut radio untuk melegakan geram kerana ramai pemandu yang mementingkan diri. Rasa nak menyumpah. Memotong barisan, tukar lorong tak bagi "signal", dan mencucuk-cucuk dengan begitu rapat dari belakang. Yang paling geram bila kereta perlahan memandu di lorong laju. 🧐

Tempat paling genting adalah di persimpangan masuk ke jambatan pertama Pulau Pinang. Sangat penting bagiku untuk keluar rumah hanya pada waktu tertentu untuk ke tempat kerja. 😅

Kereta dari Seberang Perai hendak keluar kanan ke lebuhraya Utara Selatan bertembung dengan kereta yang ingin masuk kiri ke jambatan.

Kalau tak kena masa memang masak beratur saja di situ. Semua ni selalu membuatkan saya berfikir akan sebabnya.

"Adakah arah alir jalan-jalan ini dibina kurang efisien?"

"Adakah jumlah kereta melebihi kapasiti jalan?"

"Jika tiada masalah dengan jalan, adakah cara kereta-kerata ini dikenderai bermasalah?"

Yang pastinya masing-masing ada pendapat sendiri tentang pemanduan dia jalan raya. Kebanyakannya ambil separuh dan buang separuh isi buku undang-undang jalan raya.

Pada fikiran mereka;
"Tak apalah, tak ada kereta, langgar aje lampu isyarat ni."
Ataupun, "Lembab betullah lorong ni, baik aku potong barisan".
"Orang lain buat tak apa, apsal aku buat tak boleh? Lagipun polis tak ada..."

Manusia memang suka memberontak dan tak suka dikongkong. Manusia suka melakukan apa-apa pun asalkan apa yang dihajati tercapai.

Itulah yang terjadi bila manusia mengikut-ngikut orang banyak dan nafsunya saja. Tanpa mempedulikan orang lain.

Padanya keperluannya saja yang penting, keperluan orang lain tidak penting. Masanya saja yang genting, tidak orang lain.

Sebenarnya, kereta banyak tak apa yang penting tersusun pergerakannya. Manusia dan peraturan jika bergerak seiring sudah tentu manfaatnya banyak kepada manusia itu sendiri. Tapi manusia tidak sabar, semuanya mahu cepat.

Tiada yang mampu hidup dengan baik tanpa undang-undang. Jika dilihat semua makhluk yang lain hidup dengan fitrahnya, tidak pernah kita melihat matahari terpadam apinya.

Hanya manusia yang selalu melanggar fitrahnya sendiri. Disuruh menjaga bumi, dirosakkannya. Disuruh hormati ibu bapa dijadikan hamba pula.

Manusia jika mengikut fitrah akan simbiosis dengan alam. Keadaan manusia akan lebih baik bersama segala hidupan di atas muka bumi.

Yang muda, yang tua akan saling menjaga, dan yang gagah akan membantu yang lemah. Betapa harmoninya kehidupan yang sebegitu.

Bayangkan kesannya dalam skala yang lebih besar. Negara contohnya. Tiada rasuah, tiada masalah sosial serta pecah amanah.

Alangkah sejahteranya kehidupan manusia jika begitu. Mungkin ini cuma angan-angan saya saja. Tapi tak mengapakan mempunyai fikiran positif sebegini?

"One race many colors"


No comments: