Thursday, July 25, 2019

Duit adalah Raja

💵💸💵💸💵💵💸💵💸💵💵💸💵💸\\💵
Duit! Duit! Lebih banyak duit! Siapa tak suka duit kan? Banyak manusia dengan gelojohnya merenggut, meminta malah mencuri duit demi kepuasan hatinya.
💵💸💵💸💵💵💸💵💸💵💵💸💵💸\\💵
Merenggut? Kerana duit manusia merenggut masa muda keluar dari hidupnya. Merenggut sifat kasih sayang dan belas kasihan dari hatinya.

Jika tidak dapat direnggut manusia meminta-minta sehinggakan sanggup menjahanamkan orang lain.
Akhirnya jika tidak diberi, duit itu dicuri pula. Sudahlah dicuri, cepat pula habisnya.

Sebesar itu impaknya pada keperibadian manusia. Apabila manusia dijana oleh sifat tamak di dalam hatinya apa pun sanggup dilakukan meskipun merosakkan diri sendiri.

Demi duit, peniaga sanggup menipu pembeli, mengurangkan sukatan, mencatut harga ataupun menjual barang tidak ada kualiti. Pembeli akan rasa dikhianati, kecewa dan kesal kerana mempercayai penjual.

Jual beli adalah sesuatu yang berlandaskan kepercayaan. Engkau jual barang baik, aku sanggup bayar walaupun mahal. Tapi kalau engkau jual mahal barang tak baik bukankah bersifat zalim? Tidak meletakkan sesuatu di tempatnya.

Pembeli pula jangan ambil kesempatan di atas peniaga yang baik. Sudah diberikan hutang tapi tidak dibayar pula.

Bagaimana peniaga itu mahu membeli stok untuk bulan depan? Ataupun pun bayarnya sikit tapi mahu barang yang yang tidak sepadan.

Jika barang material yang ditipu harganya tidak apalah tapi jika makanan bagaimana? Sudah masuk ke perut menjadi darah daging bagaimana pula hendak membuangnya? Jika sedar awal boleh juga dimuntahkan.

Kerana seketul ayam seluruh kedai ditutup. Maka hilanglah punca rezeki selama 2 minggu. Berbaloikah? Mari kita berimaginasi sebentar.

Baiklah.

Senario 1
Aku bertugas untuk membersihkan ayam, tapi bila dapat ayam untuk dibasuh aku sudah terbau aroma yang tidak enak dari ayam itu.
Kemungkinan besar aku akan ambil seketul dan mula menciumnya dari dekat. Bluek! Pasti busuk kerana sudah berulat. Aku akan buat tak tahu saja atau buang terus?

Senario 2
Aku bertugas untuk memasak ayam, sewaktu ayam diperap mungkin bau masih tidak dapat dihidu.
Tetapi sewaktu menggoreng bau busuk dari ayam yang sudah rosak itu menangkap deria bauku. Adakah aku akan terus menggoreng atau berhenti?

Senario 3
Ayam sudah dibasuh dan dimasak pagi semalam tapi banyak yang tidak habis.
Adakah aku akan tambah rempah dan goreng semula esok pagi ataupun buang saja ayam-ayam ini kerana sudah mula berbau?
Hidup ini adalah pilihan. Ada banyak kemungkinan untuk senario-senario di atas. Namun yang pastinya manusia boleh memilih di antara baik dan buruk. Baik untuk dirinya dan juga orang lain.

Jika kejadian ini disengajakan maka murahnya harga kehidupan individu lain di matanya. Lebih murah dari harga seekor ayam. Sekarang ni pun harga seekor ayam mentah lebih kurang RM16 ke RM20 saja.

Harapnya kejadian ini membuka mata masyarakat untuk lebih berhati-hati apabila membeli makanan di luar.

Dan menjadi pelajaran untuk peniaga-peniaga lain khususnya di dalam bidang makanan untuk lebih cermat dalam penyedian makanan.

Mungkin angan-anganku saja untuk hidup dalam komuniti di mana bahan-bahan masakannya dipetik saja dari kebun dan boleh pula ditukarkan dengan ikan yang baru dipancing jiran.

Komuniti yang menjaga alam dan sudah tentu alam juga akan menjaga mereka. Tidak rugikan hidup simbiosis dengan alam?🏞


KDP





Tuesday, July 02, 2019

Pedoman dari Anime?

Sejak raya hari tu, lemau saja tangan ini untuk menaip. Bila dah lemau nak menaip, otak pula semakin lambat. Kalau ikut iklan, sel-sel otak tak bercantum. Faham ke tidak maksudnya tu? Tak apalah, kalau tak faham buat-buat faham sajalah. Lagi pun ini bukan kelas biologi.

Baru-baru ini, aku suka mengikuti satu rancangan 'anime' bertajuk 'One Piece'. Kalau nak diterjemahkan secara terus maksudnya Satu Keping. Tapi setelah mengikuti sehingga ke episod 890 aku masih tidak mengetahui apakah bendanya satu keping itu.

Adakah sekeping tanah? Adakah sekeping duit syilling? Tak dapat aku bayangkan objeknya. Klunya cuma ianya adalah satu peninggalan dari seorang ketua lanun handalan yang bernama Gold D. Roger yang dicari-cari oleh ramai orang, termasuklah hero 'anime' ini, Monkey D. Luffy.

Pada mulanya aku menonton siri ini adalah kerana rumahku tiada Astro, cuma ada internet yang kononnya berkelajuan tinggi. Tak apalah, tiada rotan akar pun berguna ya tak? Maka bermulalah rutin harianku mengikuti siri 'anime' tersebut dari episod 1.

Dalam pada waktu aku mula menonton, aku mula menghayati jalan cerita serta watak-watak yang terkandung di dalam siri itu. Kadang-kadang emosi aku dibuatnya. Apabila difikirkan balik, banyak persamaannya dengan kondisi dunia hari ini.

Aspek utama cerita ini adalah perjalanan di atas kapal. Seolah-olah kapal itu adalah simbolik kepada sesuatu. Salah satu episodnya juga ada bercerita tentang kehilangan sebuah kapal dan bagaimana Luffy berjaya mendapatkan semula sebuah kapal yang lain, yang lebih baik pembuatannya. Dan yang paling penting bagaimana dia berjaya mengajak manusia handalan untuk mengikuti perjuangannya.

Perjalanan di laut dalam membawa mereka menempuhi pelbagai cabaran, baik dari alam mahu pun dari manusia Mereka selalu berjaya melalui setiap cabaran yang menimpa mereka kerana mereka selalu mempersiapkan diri serta meningkatkan keupayan diri masing-masing.

Semakin lama perjalanan mereka, mereka menjadi semakin handal di dalam bidang mereka tersendiri. Setiap dari anak-anak kapalnya berada di suatu tahap yang tinggi di dalam kelasnya masing-masing.

Walaupun begitu, mereka juga pernah gagal suatu ketika. Sewaktu itu beliau cuba menyelamatkan abangnya, Portgas D. Ace yang telah ditangkap oleh Marineford Arc, iaitu badan yang mengelolakan angkatan laut dunia. Di kala itu, Ace telah dihukum mati oleh Marineford, namun Luffy berjaya juga melepaskan beliau dari hukuman.

Namun sewaktu operasi penyelamatan Ace telah kecundang sewaktu menyelamatkan Luffy dari Sakazuki, salah satu panglima laut Marineford dan mati di pangkuan Luffy sendiri. Luffy berasa kesal kerana tidak cukup kuat untuk menghadapi musuh ketika itu lalu mengarahkan anak-anak kapalnya berjumpa semula hanya selepas latihan intensif selama 2 tahun.

Kejayaan tidak datang bergolek, ianya harus dengan tekad daya usaha dan disiplin. Jika kita hari ini selalu mengeluh Tuhan tak memberikan ini dan itu, cuba cermin sikap kita bagaimana pula. Kita marah dengan Tuhan tidak mengabulkan doa-doa kita atau mengapa kita selalu diuji dengan hebat.

Tuhan juga tidak akan menguji seseorang diluar kemampuannya. Apa logiknya Tuhan berkata begitu? Logiknya adalah jika cawan berkapasiti 50 ml mana mungkin diisi dengan 60 ml air? Jika akal seorang manusia hanya setakat UPSR, mana mungkin diisi dengan pelajaran peringkat SPM? Tapi bezanya akal manusia boleh berkembang selari dengan usaha yang dijananya.

Luffy juga melalui banyak kehilangan, dari kecil tidak mengenal ibu bapanya, kemudiannya dia kehilangan Going Merry seterusnya Ace. Namun dia selalu optimis dengan masa depannya kerana dia percaya takdirnya berada di dalam tangannya sendiri.

Takdir juga selalu menemukan mereka dengan orang-orang penting dari setiap negara yang mereka lawati. Dan akhirnya Luffy serta anak-anak kapalnya selalu membantu mereka meruntuhkan sistem batil yang membelenggu kerajaan dan penindasan yang telah lama menghimpit masyarakat.

Akibat dari ini, Luffy mendapat sokongan yang kuat dari para pemimpin masyarakat dan dihormati musuh-musuhnya. Tidak kurang pula disokong oleh lanun-lanun yang lain. Secara politik Luffy telah berjaya mencapai pengaruh yang diperlukan untuk mencapai misinya menjadi Raja Bajak Laut suatu hari nanti.

Setiap krew di dalam kapalnya mempunyai misi yang sama iaitu menyokong misi kaptennya, juga kapten kapal itu juga menjaga dan menyelamatkan krewnya apabila mereka ditimpa masalah. Luffy tidak pernah meninggalkan satu pun dari krewnya walaupun nyawanya yang menjadi taruhan.

Mari kita reflek dari segi kepimpinannya, Luffy dikatakan agak berjaya dalam membina ketaatan di kalangan krewnya. Mereka memandang tinggi terhadap kepimpinan Luffy dan mempercayai beliau akan tetap menyelamatkan mereka di dalam sukar walau apa pun halangan. Resiprokalnya mereka menyokong misi Luffy serta sistem yang berlaku di atas kapal baru mereka, Thousand Sunny.

Persoalannya, bagaimana Luffy melakukannya? Padahal Luffy itu seorang yang semberono, kuat makan serta gelojoh. Tidak langsung kelihatan seperti seorang kapten serta selalu saja dipandang remeh.

Sewaktu dia keluar dari kampungnya untuk misi menjadi Raja Bajak Laut, dia hanya mendayung sebuah sampah dengan sedikit bekalan. Namun dia kemudiannya berjaya membina satu pakatan bajak laut dengan 8 orang anak kapal yang mempunyai bakat yang tersendiri.

Apa yang menyebabkan Luffy dihormati orang adalah keikhlasan dan kejujurannya. Beliau juga berani menghadapi sesiapapun serta jelas dengan setiap tindakan dan keputusan yang dilakukannya. Selain bakat Haki yang dimiliki beliau juga sangat kreatif menggunakan bakat daripada buah Gomu Gomu no Mi (sejenis buah iblis yang pernah dimakannya yang telah memberikan beliau bakat sebagai budak getah).

Beliau juga sebenarnya sangat bijak dan cerdas dalam menyelesaikan cabaran yang datang sehinggakan adakalanya anak-anak kapalnya sendiri tidak memahami sebabnya. Namun mereka sentiasa percaya dan menyokong setiap keputusannya.

Kapten dan krew haruslah seperti aur dengan tebing. Kapten janganlah merasakan diri mereka besar dengan kekuasaan yang dimiliki, krew pula haruslah mengikuti sistem yang dilaksanakan. Dalam situasi apapun, samada kapten menyeleweng ataupun krewnya memberontak maka punahlah sistem.

Cuba kita letakkan impaknya terhadap sebuah kerajaan. Sebuah kapal perlukan seorang kapten, anak-anak kapal dan sistem yang baik untuk diikuti. Apa persamaannya? Sesebuah kerajaan haruslah mempunyai pemimpin, rakyat serta jajahan pemerintahan untuk membangunkan sistem pemerintahannya.

Lanun itu sifatnya memberontak, biasa melakukan perkara-perkara yang melawan arus juga ada yang melakukan rompakan serta penindasan. Namun bila ditelusuri sifatnya Luffy serta anak-anak kapalnya, mereka secara umumnya tidak melakukan penindasan malah selalu memberi pertolongan kepada negara-negara yang ditindas.

Dalam Luffy cuba mencapai misinya menjadi Raja Bajak Laut dia sedang menggoncangkan sistem yang sedia ada. Kerusi para pemerintah elitis yang menjadi pemerintah dunia yang dilindungi oleh Marineford menjadi panas lalu wang pampasan untuk menangkap Luffy semakin hari semakin tinggi.

Tapi Luffy adalah seorang yang istimewa, datuknya sendiri adalah seorang Panglima Angkatan Laut Marineford, Monkey D. Garp, yang pernah menyelamatnya suatu ketika di Impel Down. Manakala bapanya yang telah berkahwin dengan anak perempuan Garp adalah seorang ketua pemberontak yang bertujuan untuk meruntuhkan sistem dunia yang autokratik.

Aku masih menunggu apakah yang akan berlaku di antara datuk dan bapanya suatu hari nanti. Apabila dua pihak akan bertembung secara total, apakah yang akan berlaku dengan dunia ketika itu. Hanya satu pihak saja yang akan menang. Yang benar.