Thursday, August 08, 2019

Cikgu Matematikku yang Garang

Saya sememangnya seorang kanak-kanak yang sangat aktif sewaktu kecil dulu. Mungkin juga hyper cuma tidak pernah di'diagnose'.

Di sekolah juga begitu, tidak dapat duduk diam di satu-satu masa lalu menyukarkan diri untuk fokus dalam pembelajaran. Tidak ada kawan juga tidak apa kerana saya boleh melakukan eksperimen dan eksplorasi sendiri.

Namun sewaktu masuk darjah 6, guru Matematik yang kami panggil 'Miss Kwan' selalu mendebarkan dada sewaktu bertemu. Di dalam kelas juga di luar kelas.

Kebanyakan murid sangat gerun kepadanya. Walaupun begitu ada juga sebilangan murid yang sangat mesra dengan beliau. Saya berfikir, "Oh! Mungkin kerana mereka pelajar bijak, itu sebab mereka tidak takut."

Di dalam kelas sering saya didenda kerana tidak tahu menjawab soalan di papan hitam. Denda yang dikenakan boleh berbeza-beza di antara murid-murid. Saya selalu dipukul dengan pembaris atau rotan di tangan.

Dek kerana mendapat guru yang sebegitu, saya duduk diam-diam saja di dalam kelas. Terpaksa fokus pada pembelajaran.

Semakin UPSR mendekat semakin banyak latihan yang diberikan. Kerja rumah minima 100 soalan sehari, itu tidak termasuk latihan dari buku lain.

Lama-kelamaan saya mendapati saya sudah jarang sekali didenda. Keyakinan untuk menjawab soalan dengan baik juga meningkat. Paling penting sekali, rasa takut kepada 'Miss Kwan' juga hilang terus. Hanya tinggal perasaan hormat seorang murid kepada gurunya saja.

Apabila peperiksaan UPSR tamat, kelas masih berjalan seperti biasa. Termasuklah kelas Matematik. Namun kali ini kami tidak lagi belajar Matematik tapi belajar lagu-lagu Inggeris dengan beliau.

Pada waktu itu saya merasa aneh dengan beliau dan mulai sedar mengapa beliau sangat garang dengan murid-murid. Beliau tahu setiap orang punyai potensi hanya perlu digali. Beliau ikhlas untuk memandaikan kami tidak hanya kerja hari-hari.

Rasa hormat dan appresiasi saya kepadanya meningkat apabila saya mendapati diri saya mampu mendapatkan A untuk subjek Matematik. Saya insaf kerana pernah merasa geram dengan beliau.

Sejak itu saya menjadi lebih fokus dalam pelajaran sehingga ke menara gading. Saya yakin dengan kebolehan diri sendiri dan menganggap halangan hanyalah satu cabaran yang perlu ditempuhi.

Ada juga masanya saya datang melawat beliau di sekolah sehingga beliau bersara. Selepas itu saya tidak tahu dia ke mana. Apapun saya tetap bersyukur dan bertuah mendapat guru seperti beliau.

Semoga beliau baik-baik saja di mana saja beliau berada.


KDP ~ 0214

No comments: