Thursday, August 08, 2019

Aku dan bola jaring

Siapa pernah bermain bola jaring sewaktu zaman sekolah?

Saya banyak bermain sukan ini sewaktu zaman persekolahan dahulu. Tidaklah sehingga peringkat negeri, tapi saya selalu mewakili sekolah di dalam pertandingan.

Sebab utamanya kerana saya tinggi lalu saya selalu diposisikan sebagai GK (Penjaga Gol). Sehingga ramai yang menggelarkan saya tembok dek kerana saiz dan ketinggian saya.

Ada aku kisah? Selagi saya dapat membawa kemenangan kepada pasukan sekolah apa saja ejekan mereka tidak saya endah.

Saya diejek dapat piala dan saguhati, kamu mengejek habis air liur saja. Pada mulanya saya sedih, tetapi saya kuatkan semangat dan teruskan bermain.

Memang pasukan sekolah saya selalu memenangi pertandingan antara sekolah. Di antara emas, perak dan gangsa pasti ada nama sekolah kami.

Hari ini, tidak ada sedikit pun rasa geram atau marah kepada mereka yang mengejek-ngejek saya dahulu. Tinggal rasa geli hati mengingatkan mereka.

Bersukan sangat membantu saya meningkatkan jati diri serta keyakinan. Saya jadi berani dan tidak gentar untuk mencuba banyak sukan lain.

Saya selalu dibuli sewaktu sekolah rendah, tapi selepas menjuarai banyak pertandingan ramai yang bertukar menjadi hormat. Tapi saya rasa ramai yang jadi gerun. 😂

Saya tidak bermain bola jaring sejak masuk tingkatan 4 dan 5 kerana tidak ada tim. Sekolah itu banyak fokus pada pembelajaran kurang aktiviti sukan.

Namun di waktu petang saya ada juga bermain bola tampar dan juga tenis. Selepas itu saya selalu berenang dan pernah juga bermain "hand-ball".

Pada hari ini, walaupun saya sudah tidak lagi bersukan secara aktif tapi saya gemar menonton badminton apabila Lee Chong Wei bermain.

Namun sekiranya saya tidak aktif bermain bola jaring sewaktu masa dahulu pastinya saya tidak seperti hari ini. Kerana kaki yang tidak boleh duduk diam, sebelum ini saya ada juga mendaki.

Saya berkenalan dengan ramai kawan-kawan dan ada yang masih saya berhubungan sehingga hari ini. Sayangnya, saya tidak punya satu gambar pun dari zaman itu.

 Suruhlah anak-anak memilih satu sukan dan bersukanlah sewaktu ada kesempatan!

KDP
16/04/2019
~Tempat cari makan~

No comments: