Tuesday, May 07, 2019

Minggu 1 Artikel 1: Aktiviti di Bulan Puasa

Hari pertama puasa lemau rasanya dek kerana tak dapat kopi. Sewaktu keluar dari rumah juga keadaan tidak membantu kerana trafik sesak dari keluar tol Bertam. Makanan pagi tadi masih ku ingat lagi, sup suhun yang ku masak malam tadi bersama acar limau pemberian jiran semalam. Ish, rosak puasa kalau terlebih ingat.

Seperti biasa ku gagahi trafik di Penang waktu rush hour. Selalunya samada aku akan keluar lewat sedikit untuk mengelakkan trafik. Cuma beberapa hari kebelangan ini aku harus menghantar suamiku ke kantor kerana motornya overhaul. Biasalah, semakin tua semakin banyak ragamnya.

Suasana di pejabat juga lebih senyap dari biasa, macamlah masing-masing tak makan sejak minggu lepas. Ada juga rakan-rakan pejabat yang work from home kerana sejak dua menjak ini hujan. Jadi alasan mereka air naik di kawasan rumah.

Suamiku ada mengajak aku ke Bazaar Ramadhan berdekatan dengan rumah kami namun bazaar di Bertam bukan seperti bazaar lainnya di Kuala Lumpur. Tidak banyak pilihan dan sebelum azan Maghrib masing-masing sudah bungkus siap-siap untuk pulang. Tak sempat rasanya memandangkan keadaan trafik di waktu pulang kerja.

Bila difikir-fikirkan balik, kebanyakan manusia ini begitu sahaja keadaannya. Berpergian di waktu pagi, bekerja dan berpulangan pula ke rumah untuk berehat. Berulang-ulang sambil mengumpul harta. Harta dari segi materi dan anak-anak. Cuma di bulan puasa, siangnya tidak minum dan makan. Adakah dipandang Tuhan rutin yang sebegitu? Rutin yang akhirnya menunggu ajal sahaja. Tapi, apa aku tahu bukan?

Di bulan puasa ini juga, ramai peniaga mencari kesempatan untuk menambahkan pendapatan dengan menjual kuih dan baju raya. Tak lama lagi pasti akan ada gerai-gerai menjual lemang dan dodol untuk kemudahan semua. Iyalah, tak perlu bersusah payah mencari buluh serta daun pisang. Yang paling utama sekali tak perlulah dengan jerihnya mengacau dodol, semuanya sudah diautomasi. Masukkan bahan-bahan ke dalam mesin lalu tangan-tangan robot akan mengacau dodol tanpa setitik peluh pun dari dahi operatornya.

Kebanyakan rakan-rakan socmed mulalah berkongsi buffet-buffet Ramadhan dan lauk-pauk yang disediakan untuk berbuka. Masing-masing bangga dengan juadah masing-masing. Lumrahlah, bukan senang untuk para wanita ini bekerja sambil menguruskan rumahtangga. Memasak ini pada setengah-setengah wanita merupakan terapi untuk jiwa mereka. Aku juga akan rasa teruja bila memasak. Terutamanya sekira bahan-bahannya ku petik sahaja dari kebun kecilku.

Aku sudah mengira-ngira untuk memasak rendang ayam untuk dibawa pulang ke kampung. Memikirnya saja sudah membuatkan aku terliur.

Di dalam siaran tv dan radio juga banyaklah ceramah-ceramah agama mula disiarkan. Adakah besar manfaatnya pada masyarakat biar sendiri sahaja memikirkannya. Yang pastinya banyaknya program ceramah di tv tidak juga mengurangkan kadar gejala sosial.

Saat ini aku sedang memikirkan beberapa metode sebagai langkah awal untuk mengawal kebuasan waktu remaja anak-anak muridku. Bak kata pepatah, "Melentur buluh biar dari rebungnya". Beberapa aktiviti yang aku fikir boleh dijalankan sempena bulan puasa ini. Yang penting pada anak-anak ini adalah dorongan dari ibu-bapa berserta kasih-sayang di dalam proses tumbesaran mereka. Jangan biarkan mereka jauh dari ibu bapa seperti layang-layang terputus tali. Bahaya.

Semoga hari esok lebih baik dari semalam, dan aku sedang berusaha untuk istiqomah dalam penulisan. Bila melihat kawan-kawan menulis aku jua rasa terpanggil untuk memperbaiki mutu penulisan. Bagus bekerja secara berkumpulan. Dapatlah bertukar-tukar buah fikiran serta mendapatkan nasihat serta petunjuk selain merapatkan silaturrahim.

"Puasa dapat mengelakkan kemungkaran." Semoga ayat ini jadi benar dengan terwujudnya sifat-sifat Tuhan di dalam diri kita.




~:: Failure is when you stop trying ::~

1 comment:

Unknown said...

Hi sis, memang best jalan ceritanya. 1st week puasa, masih saya ingat senario waktu pagi nak masuk ofis.. Serba serbi jadi tak kena sebab tak dapat kafein. Nice one!