Thursday, July 25, 2019

Duit adalah Raja

💵💸💵💸💵💵💸💵💸💵💵💸💵💸\\💵
Duit! Duit! Lebih banyak duit! Siapa tak suka duit kan? Banyak manusia dengan gelojohnya merenggut, meminta malah mencuri duit demi kepuasan hatinya.
💵💸💵💸💵💵💸💵💸💵💵💸💵💸\\💵
Merenggut? Kerana duit manusia merenggut masa muda keluar dari hidupnya. Merenggut sifat kasih sayang dan belas kasihan dari hatinya.

Jika tidak dapat direnggut manusia meminta-minta sehinggakan sanggup menjahanamkan orang lain.
Akhirnya jika tidak diberi, duit itu dicuri pula. Sudahlah dicuri, cepat pula habisnya.

Sebesar itu impaknya pada keperibadian manusia. Apabila manusia dijana oleh sifat tamak di dalam hatinya apa pun sanggup dilakukan meskipun merosakkan diri sendiri.

Demi duit, peniaga sanggup menipu pembeli, mengurangkan sukatan, mencatut harga ataupun menjual barang tidak ada kualiti. Pembeli akan rasa dikhianati, kecewa dan kesal kerana mempercayai penjual.

Jual beli adalah sesuatu yang berlandaskan kepercayaan. Engkau jual barang baik, aku sanggup bayar walaupun mahal. Tapi kalau engkau jual mahal barang tak baik bukankah bersifat zalim? Tidak meletakkan sesuatu di tempatnya.

Pembeli pula jangan ambil kesempatan di atas peniaga yang baik. Sudah diberikan hutang tapi tidak dibayar pula.

Bagaimana peniaga itu mahu membeli stok untuk bulan depan? Ataupun pun bayarnya sikit tapi mahu barang yang yang tidak sepadan.

Jika barang material yang ditipu harganya tidak apalah tapi jika makanan bagaimana? Sudah masuk ke perut menjadi darah daging bagaimana pula hendak membuangnya? Jika sedar awal boleh juga dimuntahkan.

Kerana seketul ayam seluruh kedai ditutup. Maka hilanglah punca rezeki selama 2 minggu. Berbaloikah? Mari kita berimaginasi sebentar.

Baiklah.

Senario 1
Aku bertugas untuk membersihkan ayam, tapi bila dapat ayam untuk dibasuh aku sudah terbau aroma yang tidak enak dari ayam itu.
Kemungkinan besar aku akan ambil seketul dan mula menciumnya dari dekat. Bluek! Pasti busuk kerana sudah berulat. Aku akan buat tak tahu saja atau buang terus?

Senario 2
Aku bertugas untuk memasak ayam, sewaktu ayam diperap mungkin bau masih tidak dapat dihidu.
Tetapi sewaktu menggoreng bau busuk dari ayam yang sudah rosak itu menangkap deria bauku. Adakah aku akan terus menggoreng atau berhenti?

Senario 3
Ayam sudah dibasuh dan dimasak pagi semalam tapi banyak yang tidak habis.
Adakah aku akan tambah rempah dan goreng semula esok pagi ataupun buang saja ayam-ayam ini kerana sudah mula berbau?
Hidup ini adalah pilihan. Ada banyak kemungkinan untuk senario-senario di atas. Namun yang pastinya manusia boleh memilih di antara baik dan buruk. Baik untuk dirinya dan juga orang lain.

Jika kejadian ini disengajakan maka murahnya harga kehidupan individu lain di matanya. Lebih murah dari harga seekor ayam. Sekarang ni pun harga seekor ayam mentah lebih kurang RM16 ke RM20 saja.

Harapnya kejadian ini membuka mata masyarakat untuk lebih berhati-hati apabila membeli makanan di luar.

Dan menjadi pelajaran untuk peniaga-peniaga lain khususnya di dalam bidang makanan untuk lebih cermat dalam penyedian makanan.

Mungkin angan-anganku saja untuk hidup dalam komuniti di mana bahan-bahan masakannya dipetik saja dari kebun dan boleh pula ditukarkan dengan ikan yang baru dipancing jiran.

Komuniti yang menjaga alam dan sudah tentu alam juga akan menjaga mereka. Tidak rugikan hidup simbiosis dengan alam?🏞


KDP





No comments: