Sunday, June 02, 2019

Minggu 3 Artikel 2: Bekerja di Bulan Puasa



Bila sampai Ramadhan ramailah berpusu-pusu balik rumah awal. Tak sabar rasanya mahu ronda-ronda bazar sambil mencuci mata melihat suasana Ramadhan. Tak dapat berbelanja di mall, di bazar pun boleh juga.

Para ibu bapa akan mengambil kesempatan ini untuk menyediakan lauk berbuka sambil dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Iyalah, bukan selalu dapat pulang awal kan? Masa yang ada bolehlah digunakan untuk berbual-bual lebih panjang dengan keluarga.

Kebanyakan pejabat juga memberikan kelonggaran untuk para pekerjanya pulang ke rumah awal. Yang bukan muslim juga terjebak. Ada juga yang bukan muslim mencuba-cuba untuk berpuasa. Ada yang berjaya, ada juga yang surrender. Cuba tahun depan pulalah.

Siapa yang bekerja di pejabat tiada masalah rasanya untuk berpuasa. Tapi lain pula bagi pekerja yang bekerja di luar, yang menggunakan kudrat empat kerat. Maksudnya yang bekerja buruh. Dalam keadaan cuaca di Malaysia yang hangat dan terik, agak sukar untuk menjaga puasanya.

Mungkin lapar boleh lagi ditahan, namun jika dahaga memang boleh terhidrasi akibat banyaknya air yang keluar dari masuk. Itu baru di Malaysia, kalau di Saudi sana macam mana pula ya?

Suasana di pejabatku tidak banyak beza dengan hari-hari biasa. Cuma ramai yang pulang awal saja. Cafe menjadi sedikit lengang dan lauk-pauk di 'Economy Rice Section' juga tidak banyak seperti biasa. 

Masing-masing mulalah bertukar-tukar resipi dan bermulalah jualan biskut raya. Ramai yang lebih suka beli kuih tunjuk-tunjuk saja 😃. Maksudnya, tunjuk saja mana satu kuih yang berkenan di hati dan beli saja.

Bagi wanita-wanita yang tidak berpuasa, mulalah gerakan membungkus makan tengahari dari cafe secara berkumpulan. Kumpulannya selalu kecil saja dalam 2- 4 orang. Aku nampak saja mereka membungkus nasi dan berlalu, tapi tidaklah ku tahu ke mana destinasi rahsia mereka. Mungkin di surau.

Bagiku waktu-waktu seperti itu aku akan makan saja di cafe. Cuma tempatnya terpencil sedikit. Ada yang memberi saranan untuk makan di surau, tapi aku tak merasakan tempat itu sesuai untuk dibuat tempat makan.

Jika sudah makan, perlu buang pula bungkusannya. Takkan di dalam tong sampah di surau? Nanti ada pula haiwan-haiwan kecil merayap-rayap lalu mengotorkan surau.  

Padaku tidak perlu malu dengan fitrah penciptaaan wanita. Tapi janganlah terlalu menunjuk-nunjuk pula. Ada batasannya. Bukankah kerana menstruasi wanita seorang bayi dapat dihasilkan? Bukankah indah dan membahagiakan?

Dari segi pekerjaannya pula, ku rasakan biasa saja. Lapar atau dahaga, kerjanya harus berjalan. Cuma bila tidak sempat untuk menyiapkan kerja sebelum waktu balik, aku akan balik dulu dan siapkan lauk berbuka, kemudiannya siapkan kerja di rumah. 

Ataupun aku akan datang awal ke pejabat. Janganlah jadikan alasan berpuasa kerja tidak sempat disiapkan. Tuhan pun tak suka.

Bagi peminat kafein pula, waktu berpuasa adalah sesuatu yang sangat mencabar terutamanya pada waktu pagi. Kadang tu sampai tersengguk-sengguk di meja sambil menguap.

Perokok-perokok tegar pula menggeletar tangan dek kerana tak dapat asap satu hari. Sampai waktu berbuka terus mereka menghidupkan tembakau dan sedut dalam-dalam. Ada yang terus hisap rokok tanpa berbuka. Macam-macam. 

Namun ramai yang berdedikasi puasa satu bulan. Lebih-lebih lagi jika mereka nampak ada perubahan pada skala timbang. Terus bersemangat untuk meneruskan berpuasa. Beratku pula tak ubah-ubah dari awal puasa. Kekal statik. Sedih betul.

Harapnya aku pada saki-baki puasa ini, dapat aku menurunkan sekilo dua sebagai pemangkin untuk aku meneruskan usaha ke arah berat ideal. Mungkin kerana di pejabat juga tidak aktif, sudah balik penat pula terus berehat saja selepas makan. Sesuatu yang perlu aku fikirkan.

Tak sabar rasanya untuk mengucapkan selamat datang kepada Syawal!









No comments: