Tuesday, May 14, 2019

Minggu 2 Artikel 1: Makan Waktu Dini Hari



Memang payah kalau tidak kebiasaannya bangun pada awal sore untuk sahur. 1/12 kali sahaja setahun. Lagipun sekarang bukannya seorang lagi, sekarang berdua.
Kalau aku tidak menyediakan makannya sudah tentu dia bepergian dengan perut kosong. Bila otak kata bangun tapi badan kata tidur, itulah masanya motivasi masuk campur. Itulah motivasi aku untuk bangun pagi.

"Kalau aku tak bangun makan karang tengahari bergendanglah perut ni karang. Apatah lagi nak menunggu petang.", dalam mamai ku berbisik sendiri.

Dari malamnya sudah ku fikirkan apa yang nak disediakan untuk sahur. Selalunya aku akan menyiapkan makanannya pada lewat malam, supaya sekiranya aku tidak terjaga pada paginya suamiku bolehlah menjenguk-jenguk ke dapur dan harapnya berjumpa dengan makanan yang disiapkan.
Jika tidak, dia akan mengejutkanku sehingga jaga ataupun terus menghidupkan motor dan pergi saja ke tempat kerja. Ya, isterinya ada masalah sikit untuk bangun pagi. (T_T)

Adakalanya kagum dengan suamiku kerana dulunya dia seorang perokok. Setiap juga hari dia akan merokok dan dia juga bukan seorang morning person dulunya.
Namun apabila dia difahamkan dengan ayat-ayat Tuhan maka sekelipan itu dia terus meninggalkan rokok tanpa menoleh ke belakang lagi. Sewaktu dia duduk bujang dahulu sengaja dia tidur di atas karpet keras supaya senang bangun pagi.

Di antara waktu-waktu indah di dalam perkahwinan kami adalah makan pagi. Oleh kerana kekangan masa bersama, waktu makan pagi adalah waktu senggang untuk kami bersembang dan menanyakan aktiviti untuk hari itu.
Selepas itu, malam nantilah baru kami berjumpa semula, jika dia pulang sebelum waktu tidurku. Adakalanya dia perlu bekerja sehingga lewat malam, termasuklah hari Sabtu.

Aku hanya memasak lauk-pauk yang ringan sahaja untuk sahur. Adakalanya sandwich telur, di hari lainnya bubur pula. Tapi kebanyakkan masanya kami mengambil roti sandwich dan kopi O tanpa gula.
Sejak kami menjalani No Sugar Challenge ini yang mana boleh dibuangkan gulanya, kami buangkan. Selepas beberapa ketika, lidah sudah terbiasa dengannya dan sedikit gula saja sudah terasa sangat manis.

Dahulunya arwah mamaku suka menyediakan lauk sardin dengan nasi panas di waktu sahur. Memang sedap, namun sekarang ini baru ku tahu sardin itu banyak betul pengawetnya. Sekali-sekala ada juga ku beli untuk melepaskan rindu pada masakan mama. Saingannya dengan nasi putih panas memang sangat menyengat.
Mamaku seorang yang tidak tidur banyak. Adakalanya jika aku terjaga untuk ke tandas aku melihat dia menjahit, di lain masa aku melihat dia membaca quran. Cuma mama selalu mendapatkan power nap di waktu pulang dari sekolah. (Mamaku dulu seorang guru Geografi dan Bahasa Melayu)

Zaman belajar di kolej, sahurku cuma nasi dan telur goreng. Tapi kebanyakan waktu aku akan membeli bungkus dari kedai ataupun keluar sekejap makan di kedai mamak. Kemuadiannya pulang semula, solat dan sambung tidur.
Rakan satu rumahku terus-terusan bangun dan mula mengulangkaji matapelajaran lepas termasuk topik yang akan masuk pada kelas hari itu. Sekarang ini dia sudah pun bergelar Prof. di sebuah universiti di ibu kota.

Ada juga yang siap-siap membeli lauk sahur sewaktu meronda ke bazar. Malamnya sewaktu berbuka benar-benar menikmati juadah seperti tidak makan seminggu. Tidak sempat untuk ditinjakan, paginya masih makan dengan banyak juga. Kasihan perut terpaksa bekerja lebih masa dalam keadaan terkejut.
Dulunya tidak pernah aku terfikir dari segi itu. Baru ku faham makna, "Your body is your temple.". Tubuh badan kita akan bertindak balas dengan cara bagaimana kita melayan perut kita.

Jauh lagi perjalananku untuk mencapai berat badan ideal. Perlahan-lahan aku cuba mengurangkan dan memilih makanan yang sesuai dengan meningkatnya umurku. Aku tidak lagi late night snacking ataupun supper cakap orang putihnya.
Kalau dulu aku boleh menghabiskan satu bar coklat sewaktu menonton tv, sekarang hanya satu atau dua keping sudah memadai. Itu pun dark chocolate.. Cuma adakalanya aku terbabas juga.

Semoga ramadan pada tahun ini berjayalah aku mengenyahkan sekilo dua lemak yang lama sudah lama ku ternak tak laku-laku. Sejak 2 bulan lalu aku berjaya juga hilang 2 kilo. Harapnya berterusan usahaku untuk mencapai berat ideal.

Akhirnya, akan aku tutup tulisanku kali ini dengan satu soalan cepu emas. Pagi nanti nak masak apa ya?
~:: Failure is when you stop trying ::~








1 comment:

Zam zaman said...

Semoga berjaya turunkan berat badan. .. masak lomak cili apa sedap jugak😁