Wednesday, May 29, 2019

Minggu 2 Artikel 2: Revolusi baju Raya

Salam semua, seronok bersiap-siap untuk raya? Kuih raya dah tempah? Oh salah soalannya, "Kuih raya masih ada baki untuk dihidang di Hari Raya?". Dengan sebab itulah aku hanya akan mengambil kuih raya yang ku tempah di saat-saat akhir. Kuih yang ku buat sebelum ini tinggal serdak saja. 

Itu baru cerita pasal kuih, baju raya macam mana pula? Masing-masing mahu kelihatan anggun dan kacak di pagi pagi raya. Sudah tentu ramai yang akan memakai pakaian tradisi Melayu yang banyak berevolusi dari tahun ke tahun. Ada yang hantar tempahan, ada juga yang beli siap saja. 

Aku pula akan mengulangpakai baju kurung yang ku tempah untuk kenduri kahwin saudaraku tahun lepas. Suamiku ada berkata dia tak perlukan baju Melayu, tapi jika ada sudah tentu dia suka. Alasan untuk perempuan berbelanja saja. 

Baju tradisi Melayu banyak mengalami perubahan seiring dengan peredaran zaman. Kalau dahulunya perempuan banyak memakai baju kebaya dikawankan dengan selendang. Rambutnya pula akan disanggul cantik di kepala. Manis saja nampaknya.

Kebaya pun ada berbagai jenis. Ada kebaya songket, kebaya panjang/pendek, kain belah atau kain kipas, kebaya Riau, kebaya Nyonya dan lain-lain. Kalau cerita pasal kebaya saja penuh muka surat! Belum masuk bab baju kurung lagi.

Kepelbagaian jenis desain baju tradisi Melayu ini banyak terkait dengan cuaca dan konsep kontemporari. Contohnya baju kurung selalu dijahit menggunakan kain-kain yang sejuk seperti kain kapas ataupun sutera. Dua jenis kain ini memang kegemaranku.

Baju seragam sekolah yang rasmi pun adalah baju kurung. Desainnya simple, tiada bentuk dan kain kipas di tepi saja. Namun desain yang biasa ini dimodenkan di mana bajunya menjadi lebih pendek (atas lutut) dan ikut bentuk. Ada yang gemar berkain belah, ada pula gemar kain bentuk duyung.

Zaman 80-an, ramai yang gemarkan kurung moden seperti ini. Dan kain "lace" juga semakin diminati dan mudah didapati. Tidak seperti dulunya kain "lace" ini mahal benar harganya. Kain "lace" ini masih lagi mahal harganya, namun gred yang rendah sedikit harganya tidak terlalu mahal.

Baju kegemaranku tetaplah baju kurung Pahang kain sutera dijahit tulang belut di lehernya. Pakainya sejuk dan selesa, serta lehernya tidak terasa gatal. Namun tidak ramai tukang jahit pandai menjahit tulang belut dengan baik seperti tukang jahitku di kampung.

Baju kurung kain songket sekarang ini tidak ramai yang memakainya terutama di Hari Raya. Bukan hanya kerana harganya saja mahal, tapi kainnya yang tebal tidak sesuai dengan cuaca panas di negara kita sekarang ini. Lainlah kalau hanya duduk di dalam penghawa dingin saja. Paling cantik sekali jika dijahit kebaya labuh ataupun kurung Pahang. Memang cantik!

Sebenarnya bukan para wanita di semenanjung saja yang memakai baju kurung dan kebaya, bangsa Nusantara ini asalnya satu dan boleh kita lihat dari pakaian tradisinya. Dari Acheh ke Pagaruyung, terus ke Palembang, sampailah ke Makassar masih ada para perempuannya berbaju kurung ataupun kebaya.

Bahkan isterinya presiden Timor Leste juga berbusana kebaya sewaktu lawatannya ke Istana Bogor. Reff 1 

Tahun 90-an ku rasa bermulanya revolusi besar-besaran baju raya. Macam-macam desain ku lihat muncul di toko-toko baju sampai rambang mata. Pernah sekali baju raya ku saja sampai 5 pasang. Ada baju kurung, baju kebarung, dan juga baju kebaya. Masing-masing nanti akan bercerita pasal baju saja 1 jam.

Hari ini, aku tidak lagi berminat untuk terlalu beriya-iya berbusana cantik di Hari Raya. Asalkan elok mata memandang sudahlah. Aku lebih mengutamakan keselesaan diri kerana nanti perlu membasuh pinggan dan cawan. Paling utama sekali keselesaan poketku perlu terjamin. 

Aku juga masih suka pakai sedondon dengan suamiku, walaupun adakalanya suamiku tidak redho disedondonkan. Tapi dia lebih rela pakai sedondon daripada membazir masa memujuk isteri yang muncung.

Raya tahun ini aku akan mengenakan songket Terengganu. Sekarang ini kain songket juga ada yang murah boleh didapati dengan mudah di Jalan TAR. Tapi songketku ini dibeli di Pasar Payang sewaktu lawatan kami ke Kuala Terengganu dulu. Kainnya ku tempah dengan jahitan kurung Pahang. 

Baju raya anda macam mana?



Imej mungkin mengandungi: 4 orang
Gambar 10 tahun dulu sewaktu kenduri kahwin abangku. Kebaya lace dipadankan dengan dress labuh menjadi tema pilihan.




~Hari yang indah bermula dengan apa yang ada difikiranmu~





No comments: