Tuesday, May 07, 2019

Minggu 1 Artikel 2: Bazaar Ramadhan


Menjelmanya bulan puasa maka terpacaklah kanopi gerai-gerai makan yang dikelolakan oleh Majlis Bandaran. Kebiasaannya begitu, mungkin juga dikelolakan oleh Tok Ketua Kampung atau Tok Imam masjid untuk menambahkan pendapatan, namun jarang-jarang kita nampak hasilnya.

Harga sewa tapak bergantung pada kemasyuran kawasan yang diseliakan. Secara tak langsung menjadi penentu kepada harga makanan yang bakal ditetapkan oleh para peniaga. Ada harga berpatutan tapi tak sedap. Ada pula cekik darah tapi sedap. Namun jika cekik darah dan tak sedap memang menyebabkan emosi terganggu seketika. Mungkin membawa ke terawih tidak kusyuk.

Bazaar Ramadhan yang paling meriah dan pada masa yang sama menjengkelkan adalah Bazaar Ramadhan Jalan TAR. Meriah kerana terlalu banyak pilihan dan jengkel kerana aku selalu berbelanja dengan tamak. Hati-hati dalam memilih kerana banyak yang rupa saja cantik tapi rasanya menyakitkan hati mak mentua.

Antara juadah yang menjadi targetku adalah puding karamel ataupun kuih lopis, yang mana jumpa dulu. Rangka ayam juga menjadi kegemaranku sebagai kudap-kudapan selepas solat Maghrib. Tapi itu dululah, sekarang atas desakan BMI aku hanya mampu tengok saja rangka ayam itu menggelek-gelekkan punggungnya kepadaku 😭😭😭

Sejak berpindah ke utara tanah air, aku merasakan kehidupanku slower pace. Aku agak menyukainya kerana aku tidak rasa perlu tergesa-gesa ke sana ke mari. Tidak seperti di kotaraya Kuala Lumpur, semuanya mahu cepat. Beli makanan di bazaar pun mahu cepat. Mungkin dipengaruhi suasana kerja yang mencengkam.

Di Bertam ini lain pula ceritanya, aku boleh parking sesuka hati kerana banyak tempat. Tidak perlu berebut-rebut untuk membeli makanan di setiap gerai. Jika ramai pun masih dalam kategori boleh tahan. Harganya juga berpatutan serta rasanya agak sedap. Tidaklah jika beli karipap inti kentang tapi dapat karipap inti oksigen.

Bazaar Ramadhan di Bayan Baru jangan dibandingkan pula. Tempatnya popular dan harganya sedikit mahal. Namun ramai yang berkunjung ke situ kerana lokasinya yang strategik. Termasuklah sejumlah pekerja warga asing yang datang membeli juadah berbuka puasa. Maklumlah ramai juga yang Muslim. Yang bukan Muslim juga datang bertandang.

Pernah sekali aku berkunjung ke bazaar tersebut dan singgah di satu gerai nasi campur. Besar biji mata warga Bangladesh di sebelahku apabila diberitahu harga nasi bungkusnya mencecah RM15 walaupun lauknya tidaklah semewah mana.

Sedangkan aku turut terkesima mendengarnya, inikan pula dia yang mencuba nasib di negara orang. Rata-ratanya memang mahal di situ. Pengalamanku di tanah Hindu tahu RM15 itu boleh mereka gunakan untuk makan kenyang di restoran. Namun dia tetap menghulurkan wangnya walau wajahnya muram.

Jika tidak dibelenggu kesempitan hidup sudah tentu akal logiknya mengatakan dia tidak perlu meninggalkan kampung halamannya. Meninggalkan budaya hidupnya selama beberapa tahun serta keluarganya. Hanya mampu membelek-belek gambar anak isterinya akibat rindu dan menelefon sekali-sekala.

Jika ingin diceritakan tentang Bazaar Ramadhan memang banyak hal boleh diceritakan. Ada yang manis, ada yang pahit. Pastinya bulan puasa tidak begitu meriah jika tiada Bazaar Ramadhan.

Adakalanya aku bertemu rakan taulan di bazaar. Ada yang terserempak ada yang meniaga di sana. Tahun depan kita singgah lagi!

~:: Failure is when you stop trying ::~

No comments: